Thursday, November 20, 2008

Kaitan Di Antara Haid dan Kesuburan

Apakah kaitannya di antara kitaran haid dengan kesuburan? Wanita yang mempunyai kitaran haid yang normal dan tetap dianggap seorang wanita yang subur. Kitaran haid yang normal bermakna wanita-wanita ini mengalami ketiga-tiga fasa kitaran haid yang telah diterangkan. Wanita yang subur bermaksud wanita yang mengalami ovulasi (telur dilepaskan) dan berkeupayaan untuk menghasilkan zuriat. Kesuburan juga memberi pengertian bahawa kandungan hormon utama wanita tersebut iaitu hormon GnRH, FSH, LH, Estrogen dan Progesteron adalah normal. Kandungan hormon-hormon yang normal akan menjadikan seseorang wanita mempunyai sifat fizikal, ciri-ciri kewanitaan dan emosi seorang wanita yang normal. Walau bagaimanapun , seseorang wanita yang mengalami ovulasi tidak semestinya boleh hamil dan menghasilkan zuriat jika sekiranya salah satu atau beberapa organ-organ reproduktif yang lain adalah tidak normal. Contohnya wanita yang mempunyai kedua-dua tiub falopian yang tersumbat tidak akan boleh hamil walaupun menjalani ovulasi. Kehamilan juga tidak akan berlaku jika hubungan seks dilakukan jauh dari waktu ovulasi. Pasangan seks wanita ini juga mestilah seorang lelaki yang normal. Perlu juga diingat bahawa tidak semua wanita yang mempunyai haid yang tidak tetap ataupun yang tidak langsung kedatangan haid adalah wanita-wanita yang tidak subur. Mereka mungkin mengalami ovulasi tetapi pada kadar yang kurang contohnya di dalam setahun mereka mungkin hanya mengalami ovulasi sebanyak 4-6 kali dan bukan 8-12 kali sepertimana wanita-wanita lain yang normal. Walaupun mengalami ovulasi yang jarang , seseorang wanita masih boleh hamil jika hubungan seks dilakukan ketika subur dengan syarat pasangan lelakinya adalah normal. Walau bagaimanapun jika kita memperkatakan dari segi kemungkinan ataupun keberangkalian wanita ini untuk hamil tentulah ianya kurang jika dibandingkan dengan wanita yang mempunyai kitaran haid yang normal serta mengalami ovulasi hampir setiap bulan. Kajian menunjukkan bahawa jika hubungan seks dilakukan secara tetap sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, hampir 80% wanita dari pasangan suami isteri yang mempunyai fungsi organ reproduktif yang normal akan hamil di dalam jangkamasa 12 bulan. Keberangkalian untuk hamil tentu akan lebih tinggi jika pasangan ini tahu untuk mengenalpasti waktu kesuburan. Kebarangkalian untuk hamil seseorang wanita juga bergantung kepada usia seseorang wanita. Ini mempunyai kaitan dengan baki bilangan folikel dan benih wanita (oosit /ovum). Semakin lanjut usia seseorang wanita , baki bilangan folikel di dalam ovari akan berkurangan dan begitu jugalah kandungan hormon estrogen. Ini menyebabkan bukan saja kekerapan berovulasi semakin kurang tetapi juga kualiti folikel serta benih wanita turut terjejas. Akibatnya mereka menjadi sukar untuk hamil terutamanya selepas berusia 35 tahun.

2 comments:

man_aj4032 said...

sy ingin m'ajukn 1 p'masalahn yg sedang sy hadapi dgn pasangan sy.pd bln 7 baru2 ini sy tlh m'adakn hubungn kelamin dgn pasangn sy secara tidak sengaja.maksud sy pd ms itu dia dlm keadaan period.p'soalannya skrg apakah kemungkinn yg dia akn hamil?buat ms ini dia sdh sebln lebih x dtg haid.sedangkn kami tidak b'cadang utk m'nimang anak baru buat ms ini.sbb kami cuba m'jarakkn tahun kelahiran bkl anak kami dgn anak lelaki kami skrg ini.isteri sy x mkn pil perancang n kejadian hari tu pun bukannya kami rancang.hehehehe...
mmmm....jd sy b'harap sgt bantuan dr pihak tuan....

Dr.Rushdan Noor said...

Jika benar pendarahan yang berlaku tersebut adalah pendarahan haid , maka pasangan anda tidak mungkin akan hamil kerana pada ketika datang haid, pasangan anda tidak subur kerana proses ovulasi hanya berlaku pada pertengahan bulan ( sekitar hari ke 14). Walau bagaimanapun pendarahan yang berlaku pada seseorang wanita bukan semestinya pendarahan haid kerana ianya boleh disebabkan oleh faktor2 lain seperti kesan mengambil ubat hormon, penyakit pada pangkal rahim dan lain-lain. Pendarahan ini boleh berlaku ketika seseorang wanita itu subur.