Thursday, November 20, 2008

Kaitan Di Antara Haid dan Kesuburan

Apakah kaitannya di antara kitaran haid dengan kesuburan? Wanita yang mempunyai kitaran haid yang normal dan tetap dianggap seorang wanita yang subur. Kitaran haid yang normal bermakna wanita-wanita ini mengalami ketiga-tiga fasa kitaran haid yang telah diterangkan. Wanita yang subur bermaksud wanita yang mengalami ovulasi (telur dilepaskan) dan berkeupayaan untuk menghasilkan zuriat. Kesuburan juga memberi pengertian bahawa kandungan hormon utama wanita tersebut iaitu hormon GnRH, FSH, LH, Estrogen dan Progesteron adalah normal. Kandungan hormon-hormon yang normal akan menjadikan seseorang wanita mempunyai sifat fizikal, ciri-ciri kewanitaan dan emosi seorang wanita yang normal. Walau bagaimanapun , seseorang wanita yang mengalami ovulasi tidak semestinya boleh hamil dan menghasilkan zuriat jika sekiranya salah satu atau beberapa organ-organ reproduktif yang lain adalah tidak normal. Contohnya wanita yang mempunyai kedua-dua tiub falopian yang tersumbat tidak akan boleh hamil walaupun menjalani ovulasi. Kehamilan juga tidak akan berlaku jika hubungan seks dilakukan jauh dari waktu ovulasi. Pasangan seks wanita ini juga mestilah seorang lelaki yang normal. Perlu juga diingat bahawa tidak semua wanita yang mempunyai haid yang tidak tetap ataupun yang tidak langsung kedatangan haid adalah wanita-wanita yang tidak subur. Mereka mungkin mengalami ovulasi tetapi pada kadar yang kurang contohnya di dalam setahun mereka mungkin hanya mengalami ovulasi sebanyak 4-6 kali dan bukan 8-12 kali sepertimana wanita-wanita lain yang normal. Walaupun mengalami ovulasi yang jarang , seseorang wanita masih boleh hamil jika hubungan seks dilakukan ketika subur dengan syarat pasangan lelakinya adalah normal. Walau bagaimanapun jika kita memperkatakan dari segi kemungkinan ataupun keberangkalian wanita ini untuk hamil tentulah ianya kurang jika dibandingkan dengan wanita yang mempunyai kitaran haid yang normal serta mengalami ovulasi hampir setiap bulan. Kajian menunjukkan bahawa jika hubungan seks dilakukan secara tetap sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, hampir 80% wanita dari pasangan suami isteri yang mempunyai fungsi organ reproduktif yang normal akan hamil di dalam jangkamasa 12 bulan. Keberangkalian untuk hamil tentu akan lebih tinggi jika pasangan ini tahu untuk mengenalpasti waktu kesuburan. Kebarangkalian untuk hamil seseorang wanita juga bergantung kepada usia seseorang wanita. Ini mempunyai kaitan dengan baki bilangan folikel dan benih wanita (oosit /ovum). Semakin lanjut usia seseorang wanita , baki bilangan folikel di dalam ovari akan berkurangan dan begitu jugalah kandungan hormon estrogen. Ini menyebabkan bukan saja kekerapan berovulasi semakin kurang tetapi juga kualiti folikel serta benih wanita turut terjejas. Akibatnya mereka menjadi sukar untuk hamil terutamanya selepas berusia 35 tahun.