Thursday, November 20, 2008

Kaitan Di Antara Haid dan Kesuburan

Apakah kaitannya di antara kitaran haid dengan kesuburan? Wanita yang mempunyai kitaran haid yang normal dan tetap dianggap seorang wanita yang subur. Kitaran haid yang normal bermakna wanita-wanita ini mengalami ketiga-tiga fasa kitaran haid yang telah diterangkan. Wanita yang subur bermaksud wanita yang mengalami ovulasi (telur dilepaskan) dan berkeupayaan untuk menghasilkan zuriat. Kesuburan juga memberi pengertian bahawa kandungan hormon utama wanita tersebut iaitu hormon GnRH, FSH, LH, Estrogen dan Progesteron adalah normal. Kandungan hormon-hormon yang normal akan menjadikan seseorang wanita mempunyai sifat fizikal, ciri-ciri kewanitaan dan emosi seorang wanita yang normal. Walau bagaimanapun , seseorang wanita yang mengalami ovulasi tidak semestinya boleh hamil dan menghasilkan zuriat jika sekiranya salah satu atau beberapa organ-organ reproduktif yang lain adalah tidak normal. Contohnya wanita yang mempunyai kedua-dua tiub falopian yang tersumbat tidak akan boleh hamil walaupun menjalani ovulasi. Kehamilan juga tidak akan berlaku jika hubungan seks dilakukan jauh dari waktu ovulasi. Pasangan seks wanita ini juga mestilah seorang lelaki yang normal. Perlu juga diingat bahawa tidak semua wanita yang mempunyai haid yang tidak tetap ataupun yang tidak langsung kedatangan haid adalah wanita-wanita yang tidak subur. Mereka mungkin mengalami ovulasi tetapi pada kadar yang kurang contohnya di dalam setahun mereka mungkin hanya mengalami ovulasi sebanyak 4-6 kali dan bukan 8-12 kali sepertimana wanita-wanita lain yang normal. Walaupun mengalami ovulasi yang jarang , seseorang wanita masih boleh hamil jika hubungan seks dilakukan ketika subur dengan syarat pasangan lelakinya adalah normal. Walau bagaimanapun jika kita memperkatakan dari segi kemungkinan ataupun keberangkalian wanita ini untuk hamil tentulah ianya kurang jika dibandingkan dengan wanita yang mempunyai kitaran haid yang normal serta mengalami ovulasi hampir setiap bulan. Kajian menunjukkan bahawa jika hubungan seks dilakukan secara tetap sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, hampir 80% wanita dari pasangan suami isteri yang mempunyai fungsi organ reproduktif yang normal akan hamil di dalam jangkamasa 12 bulan. Keberangkalian untuk hamil tentu akan lebih tinggi jika pasangan ini tahu untuk mengenalpasti waktu kesuburan. Kebarangkalian untuk hamil seseorang wanita juga bergantung kepada usia seseorang wanita. Ini mempunyai kaitan dengan baki bilangan folikel dan benih wanita (oosit /ovum). Semakin lanjut usia seseorang wanita , baki bilangan folikel di dalam ovari akan berkurangan dan begitu jugalah kandungan hormon estrogen. Ini menyebabkan bukan saja kekerapan berovulasi semakin kurang tetapi juga kualiti folikel serta benih wanita turut terjejas. Akibatnya mereka menjadi sukar untuk hamil terutamanya selepas berusia 35 tahun.

Tuesday, October 21, 2008

Senggugut

SENGGUGUT
 
Senggugut ataupun di dalam bahasa Inggeris dipanggil dysmenorrhoea ( dismenorea) adalah salah satu masalah haid yang sering berlaku di kalangan wanita. Senggugut adalah sakit ketika datang haid. Terdapat banyak punya mengapa berlakunya senggugut, walau bagaimanapun senggugut di bahagikan kepada 2 jenis utama:
 
1. Senggugut Primer ( Primary Dysmenorrhoea)
2. Senggugut Sekunder ( Secondary Dysmenorrhoea)
 
Senggugut Primer : Sakit ketika haid yang dialami semenjak kedatangan haid pertama lagi. Keadaan ini disebabkan oleh pengecutan otot dinding rahim dan pengeluaran sejenis hormon yang dinamakan prostaglandin.Wanita yang mengalami senggugut jenis ini tidak mempunyai sebarang penyakit organ reproduktif. Senggugut jenis ini juga adalah petunjuk bahawa wanita tersebut subur dan mengalami ovulasi.
 
Senggugut Sekunder : Sakit ketika haid yang bermula setelah beberapa tahun selepas kedatangan haid yang pertama terutamanya dihidapi oleh wanita2 yang di dalam lingkungan usia 20 an hingga 30 an. Punca-punca berlakunya senggugut sekunder adalah seperti berikut :
a. Endometriosis
b. Radang pelvis
c. Fibroid dan lain-lain
 
Senggugut jenis sekunder memerlukan pemeriksaan lanjut bagi mengesan punca dan merawatnya.
 

Tuesday, October 14, 2008

Buku Masalah Haid dan Pendarahan Wanita

Buku ini patut dimiliki oleh semua kaum wanita khususnya dan petugas-petugas perubatan yang perihatin mengenai masalah kesihatan wanita. Sila tonton klip video yang singkat memaparkan contoh bab 1 dan 2 buku ini. Buku ini mempunyai sejumlah 224 mukasurat dengan mempunyai lebih 80 rajah2 serta imej2. Sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Khusus untuk anda yang akan menunaikan haji dan umrah, buku ini paling sesuai dijadikan rujukan kerana terdapat bab yang membincangkan haid dan pendarahan wanita dari perspektif Islam dan bagaimana wanita dapat menjalankan ibadah haji & umrah jika kedatangan haid ataupun pendarahan faraj yang tidak normal. Terdapat 11 bab di dalam buku ini.

Sila klik play pada paparan di bawah untuk menonton klip video contoh bab 1 dan bab 2 daripada sejumlah 11 bab di dalamnya.

Friday, September 26, 2008

Buku Haid Dan Pendarahan Wanita : Sinopsis

Sinopsis Buku Masalah Haid dan Pendarahan Wanita

Wanita yang normal seringkali digambarkan sebagai seseorang yang mempunyai ciri-ciri fizikal luaran dan emosi seorang wanita. Walau bagaimanapun ciri-ciri ini pada hakikatnya tidak mencukupi untuk menjadikan seseorang itu bergelar wanita tulin kerana faktor genetik patut diambil kira dan salah satu manifestasi genetik kaum hawa ini adalah memiliki organ reproduktif seperti rahim dan kelenjar ovari. Dengan memiliki organ reproduktif yang berfungsi dengan normal, seseorang wanita akan melalui beberapa fasa di sepanjang kehidupan mereka iaitu fasa puberti (akil baligh), fasa reproduktif (menghasilkan zuriat) dan jika usia mereka cukup panjang, mereka kemudiannya akan memasuki fasa menopaus (putus haid). Salah satu fenomena penting di dalam kehidupan seseorang wanita adalah kedatangan haid. Dari segi perubatan moden, haid merupakan salah satu proses fisiologi yang sangat unik dan kompleks. Haid mempunyai hubungan dengan kesuburan dan kesihatan tubuh badan seseorang wanita. Haid yang bermasalah dan pendarahan yang tidak normal seringkali dikaitkan dengan masalah kesihatan yang mungkin memudharatkan. Terdapat banyak jenis masalah haid yang boleh dialami oleh wanita seperti perdarahan yang terlalu banyak, pendarahan tidak tetap, haid yang sedikit, tidak datang haid, sakit ketika datang haid dan juga gejala-gejala lain yang dialami sebelum dan selepas pendarahan haid seperti Sindrom Pra-Haid (Sindrom Premenstrual) dan pendarahan di pertengahan bulan. Sebahagian dari masalah-masalah ini dapat dicegah dan ditangani dengan mudah. Walau bagaimanapun pendarahan haid yang tidak normal boleh juga merupakan petanda penyakit-penyakit yang serius seperti kanser, penyakit endokrin dan penyakit-penyakit kronik. Pendek kata, masalah haid boleh menjadi satu beban besar kepada seseorang wanita yang bukan saja beban dari segi fizikal tetapi juga psikologikal, sosial dan seksual. Bagi wanita Islam, perdarahan haid mempunyai banyak implikasinya terhadap kehidupan harian mereka kerana haid samada normal ataupun sebaliknya akan mempengaruhi ibadah yang mereka lakukan. Ibadah-ibadah tersebut termasuklah sembahyang , berpuasa dan menunaikan haji serta umrah. Buku ini memaparkan panduan lengkap mengenai apakah haid dan permasalahannya dari perspektif perubatan moden dan juga perspektif Islam. Ianya juga membincangkan dengan terperinci masalah-masalah pendarahan wanita yang lain seperti pendarahan selepas hubungan seks, pendarahan selepas menopaus(putus haid) dan juga pendarahan selepas melahirkan anak (nifas). Buku ini juga memaparkan kaedah-kaedah pengesanan dan rawatan-rawatan terkini yang boleh diberikan untuk menangani masalah haid dan pendarahan faraj. Dengan maklumat yang begitu menyeluruh dan terperinci dengan bahasa yang mudah, saya yakin buku ini sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat di samping boleh dijadikan rujukan oleh Penuntut-Penuntut Perubatan, Pelatih-Pelatih Jururawat, Pelatih Pembantu Pegawai Perubatan dan juga Penuntut-Penuntut Kolej atau Maktab Keagamaan.


Contoh-contoh isi kandungan buku Haid (terdapat lebih 60 rajah dan imej-imej di dalam buku ini)