Friday, September 26, 2008

Buku Haid Dan Pendarahan Wanita : Sinopsis

Sinopsis Buku Masalah Haid dan Pendarahan Wanita

Wanita yang normal seringkali digambarkan sebagai seseorang yang mempunyai ciri-ciri fizikal luaran dan emosi seorang wanita. Walau bagaimanapun ciri-ciri ini pada hakikatnya tidak mencukupi untuk menjadikan seseorang itu bergelar wanita tulin kerana faktor genetik patut diambil kira dan salah satu manifestasi genetik kaum hawa ini adalah memiliki organ reproduktif seperti rahim dan kelenjar ovari. Dengan memiliki organ reproduktif yang berfungsi dengan normal, seseorang wanita akan melalui beberapa fasa di sepanjang kehidupan mereka iaitu fasa puberti (akil baligh), fasa reproduktif (menghasilkan zuriat) dan jika usia mereka cukup panjang, mereka kemudiannya akan memasuki fasa menopaus (putus haid). Salah satu fenomena penting di dalam kehidupan seseorang wanita adalah kedatangan haid. Dari segi perubatan moden, haid merupakan salah satu proses fisiologi yang sangat unik dan kompleks. Haid mempunyai hubungan dengan kesuburan dan kesihatan tubuh badan seseorang wanita. Haid yang bermasalah dan pendarahan yang tidak normal seringkali dikaitkan dengan masalah kesihatan yang mungkin memudharatkan. Terdapat banyak jenis masalah haid yang boleh dialami oleh wanita seperti perdarahan yang terlalu banyak, pendarahan tidak tetap, haid yang sedikit, tidak datang haid, sakit ketika datang haid dan juga gejala-gejala lain yang dialami sebelum dan selepas pendarahan haid seperti Sindrom Pra-Haid (Sindrom Premenstrual) dan pendarahan di pertengahan bulan. Sebahagian dari masalah-masalah ini dapat dicegah dan ditangani dengan mudah. Walau bagaimanapun pendarahan haid yang tidak normal boleh juga merupakan petanda penyakit-penyakit yang serius seperti kanser, penyakit endokrin dan penyakit-penyakit kronik. Pendek kata, masalah haid boleh menjadi satu beban besar kepada seseorang wanita yang bukan saja beban dari segi fizikal tetapi juga psikologikal, sosial dan seksual. Bagi wanita Islam, perdarahan haid mempunyai banyak implikasinya terhadap kehidupan harian mereka kerana haid samada normal ataupun sebaliknya akan mempengaruhi ibadah yang mereka lakukan. Ibadah-ibadah tersebut termasuklah sembahyang , berpuasa dan menunaikan haji serta umrah. Buku ini memaparkan panduan lengkap mengenai apakah haid dan permasalahannya dari perspektif perubatan moden dan juga perspektif Islam. Ianya juga membincangkan dengan terperinci masalah-masalah pendarahan wanita yang lain seperti pendarahan selepas hubungan seks, pendarahan selepas menopaus(putus haid) dan juga pendarahan selepas melahirkan anak (nifas). Buku ini juga memaparkan kaedah-kaedah pengesanan dan rawatan-rawatan terkini yang boleh diberikan untuk menangani masalah haid dan pendarahan faraj. Dengan maklumat yang begitu menyeluruh dan terperinci dengan bahasa yang mudah, saya yakin buku ini sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat di samping boleh dijadikan rujukan oleh Penuntut-Penuntut Perubatan, Pelatih-Pelatih Jururawat, Pelatih Pembantu Pegawai Perubatan dan juga Penuntut-Penuntut Kolej atau Maktab Keagamaan.


Contoh-contoh isi kandungan buku Haid (terdapat lebih 60 rajah dan imej-imej di dalam buku ini)